CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

DARI HATI QAIRA

Apa yang tertulis di laman blog ini datangnya daripada lubuk hati Qaira yang paling dalam dengan niat yang ikhlas untuk berkongsi rasa hati. Untuk yang sudi mengikuti blog ini, terima kasih Qaira ucapkan dan untuk yang terguris hatinya dengan pengisian blog ini, salam kemaafan yang Qaira pinta. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah S.W.T dan yang kurang baik itu datangnya daripada diri Qaira sendiri.~QQ~

DARI PAPAN KEKUNCI QAIRA...

Semua entri di sini, hanyalah untuk tatapan di sini sahaja. Sebarang salinan semula tidak dibenarkan sama sekali, melainkan bersama kredit sumber asal.

P/S: Qaira dalam proses memindahkan semua entri daripada blog terdahulu (www.ayu-ilham.blogspot.com) yang telah di hack ke dalam blog ini. Harap maklum...

Khamis, 29 Disember 2011

Feminin-Untukmu


Ini dia lagu yg Indah dok nyanyi2 masa dia melatah tu......enjoy tis song k.....=)

Jumaat, 23 Disember 2011

HAH! SUPERMANKU SUPARMAN? -Bab 1-



Orang tua-tua selalu kata yang hidup kita ini sebenarnya suatu perjalanan yang indah. Jadi, untuk menghargai kehidupan yang kita miliki kita hendaklah tahu untuk menikmati keindahan itu. Itu orang tua-tualah yang cakap. Sejauh mana kebenarannya, aku sendiri pun tak pasti kerana aku masih lagi mencari keindahan itu walaupun namaku sendiri Nur Indah Binti Amran. Selain keindahan hidup, ada lagi satu perkara yang masih lagi aku cari sehingga kini iaitu super heroku a.k.a superman. Sekali lagi aku ulang, aku mencari superman bukannya Suparman.
            “Oi! Jauh termenung!”
            “Oi! Jauh termenung. Mak kau jatuh, nenek dah melayang. Eh nenek dah melayang, nenek dah terbang.” Balasku sambil terlompat-lompat seperti kera kena belacan. Ya Allah! Malunya aku, tuhan sajalah yang tahu. Nasib baiklah belum ramai lagi orang yang berada di pejabat memandangkan hari masih lagi awal.
            “Isy kau ni Indah, pagi-pagi hari lagi dah melalut.” Ujar Kamelia.
            “Ntah kau ni Indah, muda-muda lagi dah dapat penyakit melatah. Dah tu pulak, asyik mak orang je yang jatuh, asyik nenek orang je yang terbang melayang. Tak pernah pulak kau sebut mak kau ke yang jatuh. Tak pun kau sebut nenek kau yang terbang melayang. Ni asyik mak dengan nenek orang je yang kena. Lain kali sebutlah mak kau ke nenek kau ke.” Celah Fariq pula.
            “Encik Fariq, kau ingat orang melatah ni boleh rancang-rancang ke? Dah benda tu yang nak terkeluar daripada mulut aku ni, benda tulah yang aku sebut. Nasib baik aku cuma cakap benda-benda tu je, buatnya aku melalut cakap benda yang bukan-bukan lagi haru-biru jadinya.”
            “Betul juga tu. Kalau si Indah ni melatah sampai dok menyebut benda-benda yang tak sepatutnya lagi teruk. Yang dalam kain, yang luar kain habis semua disebutnya macam yang selalu kita tengok bila orang tua-tua melatah.” Sokong Kamelia.
            “Hah, tahu tak apa.” Balasku pula menyokong kata-kata Kamelia.
 “Indah, bos panggil.” Ujar Kak Salwa sebaik sahaja melewati mejaku.
Hah! Bos panggil? Macam manalah hidup aku ni nak indah kalau pagi-pagi hari lagi aku dah kena mengadap muka si singa tua tu. Oh, superman ku! Datanglah, selamatkanlah aku daripada dibaham oleh si singa tua itu.
“Indah.”
“Indah.”
“Cik Nur Indah Binti Amran!!!”
“Hah!!!” Berkecai sudah lamunanku diselamatkan oleh supermanku tadi. Semuanya angkara suara nyaring Kak Salwa yang memanggil namaku. Isy, kacau daun betullah Kak Salwa ni, orang nak berangan sikit pun tak boleh. Betul-betul potong stim je.
“Isy, budak bertuah ni, pagi-pagi hari lagi dah mengelamun.” Omel Kak Salwa.
“Mana ada saya mengelamun kak. Saya tengah berfikir je, kenapa bos nak jumpa saya?” Ujarku membela diri.
“Bercakap dengan kamu ni, tak pernahnya akak dapat menang. Ada je jawapan yang keluar dari mulut kamu tu. Patutnya dulu kamu masa belajar ambil jurusan law bukannya ambil bisness. Jadi kamu keluar boleh jadi lawyer, tak adalah sia-sia bakat kamu yang suka melawan balik cakap orang tu.”
“Alah kak, tak payah susah-susah nak jadi lawyer. Sekarang ni pun saya dah jadi loyar. L.O.Y.A.R” Balasku sambil mengeja satu persatu huruf itu.
“Akak cakap pasal lawyer yang kat mahkamah tu, bukannya loyar buruk. Kalau loyar buruk nak buat apa.” Balas Kak Salwa sambil menjeling geram kepadaku.
“Alah kak, janganlah marah. Saya bergurau jelah kak.”
“Kamu ni Indah. Ada-ada je.”
            “Dia nak apa kak?” Soalku pula, menukar topik perbualan kami.
            “Manalah akak tahu. Kamu pergi jelah jumpa dia.” Balas Kak Salwa kepadaku.
            Apalah yang orang tua tu nak lagi ni. Kalau panggil aku mesti ada je hal yang tak kena. Itu tak kenalah. Ini tak kenalah. Kadang-kadang aku rasa orang tua tu macam sengaja nak cari salah aku. Gumamku di dalam hati.
            “Apa yang kau tunggu lagi tu Indah? Pergilah jumpa dia.” Arah Kak Salwa.
            “Dia nak jumpa saya sekarang ke kak?” Soalku lagi.
            “Tak adalah. Tuan Arman suruh kau jumpa dia tahun depan.” Balas Kak Salwa selamba sambil meletakkan dua helaian kertas di atas mejaku.
            “Surat apa pulak ni kak?” Soalku sambil membelek-belek helaian kertas itu.
            “Surat cinta.” Jawabnya ringkas. Itulah Kak Salwa, pembantu peribadi Tuan Arman. Setiap kali disoal tidak pernah ada jawaban yang serius keluar dari mulut wanita lewat 30-an yang sudah bergelar ibu tunggal itu.
            “Apa pulak surat cinta kak. Ni surat claim ni.” Sangkal ku.
            “Dah tahu lagi nak tanya kat akak surat apa tu.” Aku hanya tersenyum mendengar omelan Kak Salwa. Butiran di dalam helaian kertas itu kuteliti satu per satu. Tanpa sedar satu keluhan berat kulepaskan.
            “Kenapa? Berkerut seribu dahi tu akak tengok. Dah tu siap mengeluh lagi.” Soal Kak Salwa.
            Aku mengaru kepalaku yang tidak gatal. “Isy, tak faham betul sayalah dengan si Zarul ni kak. Baru dua hari lepas si Nuar hantar surat claim kat saya, hari ni si Zarul pula yang hantar. Diarang nikan pergi outstation sama-sama minggu lepas. Kenapa pulak hantar surat claim asing-asing? Tak boleh ke si Zarul ni hantar sekali masa Nuar hantar surat claim dia hari tu? Buat kerja saya je nak buka tutup, buka tutup rekod claim ni.” Omelku melahirkan rasa tidak puas hati di atas tindakan Zarul dan Anuar.
            “Alah Indah, kau bukannya tak tahu yang si Zarul tu mana ngam dengan si Nuar tu.”
            “Kot ye pun diarang tu tak ngam. Nikan soal kerja. Professionallah sikit. Setakat nak hantar surat claim sama-sama, itu pun susah ke?”
            “Alah, kau buat jelah Indah. Eh! Yang kau tercegat kat sini lagitu kenapa? Pergilah jumpa singa tua tu. Karang tak pasal-pasal pulak dia mengaum.”
            “Kak, mana ada singa mengaum. Yang mengaum tu harimaulah.”
            “Tak kisahlah singa ke harimau ke yang mengaum. Janji jangan yang kat dalam bilik tu yang mengaum. Kalau dia mengaum, baru betul tak senang duduk kita di buatnya.” Balas Kak Salwa sambil berlalu pergi ke mesin photostat.
            “Kak.” Panggilku.
            “Erm…”
            “Kak.” Panggilku lagi.
            “Kak, kek, kak, kek dari tadi. Apa dia? Cakap jelah, akak dengar ni.” Ujar Kak Salwa yang sedang sibuk membuat salinan dokumen di mesin photostat bersebelahan mejaku.
            “Akak tengok mood dia baik ke tak hari ni?” Soalku.
            “Akak tengok, akak tengok. Indah ingat, akak ni nujum Pak Belalang ke, reti nak tengok-tengok orang, nak ramal-ramal mood orang tu baik ke tak?”
            “Alah, akak kan baru lepas keluar daripada bilik dia tadi. So, tentu akak tahu mood dia baik ke tak hari ni? Angin dia tu, angin yang sepoi-sepoi bahasa ke, angin ribut taufan ke, angin bayu laut ke?” Soalku lagi.
            “Angin bayu ye Indah.” Ujar Jamilah yang muncul tiba-tiba lalu mencucuk pingangku.
            “Oh, angin bayu membawa diriku, sepintas lalu ku terkenangkanmu, memori silam meresap malam, kenangan bersama tersimpan selamanya. Walaupun kau pergi jauh dari diri ini, cintaku masih bersemadi di hati, keyakinan kita kan kembali, menghidupkan semula janji bara cinta. Kita bersama mengejar mimpi, terpisah sementara ku pasti, suatu hari nanti cinta kita bersemi, kembali menerangi, mekar di taman hati.”
            “Oi, sudah-sudah tu Indah. Takkan kau nak nyanyi lagu Feminin tu sampai habis.” Sela Kak Salwa.
            “Lawak sungguhlah kau ni Indah, aku cucuk sikit pun kau dah melatah sampai macam tu sekali. Siap menyanyi-nyanyi lagi.” Ujar Jamilah sambil menahan gelaknya dari terus meletus.
            “Apalah kau ni Jamie, kau dah tau si Indah melatah yang kau pergi cucuk-cucuk pingang dia tu kenapa?” Marah Kak Salwa.
            “Entah kau ni Jamie. Tak baik tau kau buat aku macam ni. Aku nak merajuklah dengan kau macam ni. Aku tak nak cakap dua minit dengan kau.” Ugutku kepada Jamilah atau lebih mesra disapa sebagai Jamie. Mulutku sengaja dipanjangkan membentuk muncung yang boleh diikat dengan reben merah.
            “La….nak merajuk pun nak cakap dengan aku. Merajuk jelah….ada aku kisah? Tak nak cakap dengan aku dua minit je ke? Hawatnya tak sampai dua hari ke, dua minggu ke, dua bulan ke. Takpun dua tahun, barulah ada trial sikit. Ni setakat dua minit, apa ada hal. Tak memberi kesan apa-apa pun kat aku.” Balas Jamie.
            “Fine! Kau cabar aku ea. Baik, aku tak nak cakap dua bulan dengan kau.” Ancamku kepada Jamilah dengan mimik muka yang sengaja aku seriuskan. Melihat wajahku yang serius, rona wajah Jamilah mula berubah. Aku tersenyum di dalam hati. Padan muka kau Jamie. Kau main-mainkan aku ye. Sekarang ni turn aku pula. Jom kita lihat siapa yang kena?
            “Alah Indah, don’t take it seriously. Aku bergurau je.” Pujuk Jamilah. Namun pujukan itu tetap tidak kuendahkan. Aku tetap tayang wajah serius, wajah orang tidak berperasaan kepada Jamilah. Melihat keseriusan mukaku, Jamilah mula mengelabah.
            “Indah, dulu masa sekolah ustaz aku ada cakap kalau kita tak tegur orang yang kita kenal selama tiga hari berturut-turut nanti kita dapat dosa. Ni kau tak nak cakap dengan aku sampai dua bulan, nanti sia-sia je kau dapat dosa kering. Aku tak naklah kawan baik aku ni dapat dosa kering.” Pujuknya lagi.
            “Itu ustaz kau yang cakap. Ustaz aku tak cakap apa-apa pun. Lagipun aku yang dapat dosa tu bukannya kau.” Balasku dengan nada suara yang sengaja aku datarkan.
            “Alah Indah, tak maulah majok-majok. Intan payung, busyuk-busyuk, meh sini aku timang-timang kau.”
            “Kau ingat aku baby ke yang kau nak timang-timang. Macam larat je kau nak timang aku.”
            “Tak maulah majok-majok. Aku gurau jelah. Please…………”
            Melihat muka Jamilah yang sudah seakan-akan kuih karipap basi, aku pun beralah. “Yelah, yelah, aku maafkan kau. But only for this time.” Kataku memberi amaran.
            “Ni yang buat aku tambah sa….yang kat kau ni.” Balas Jamilah sambil memelukku erat.
            “Oi, apa peluk-peluk ni. Nanti orang ingat aku les plak, jatuhlah saham aku.” Ujarku sambil menepis tangan Jamilah yang sudah berlingkar di pingangku.
            “Nur Indah, in my room now!!!” Arah Tuan Arman tiba-tiba. Entah bila si singa tua ni muncul di mejaku pun aku tidak pasti. Gulp! Gulp! Ku telan air liur yang terasa kesat di kerongkongku apabila mendengar arahan itu.  Melihat riak mukanya yang seakan-akan mahu menelanku sahaja sudah cukup menakutkan, inikan pula mahu berhadapan dengannya. Superman…. Help me!!! Jeritan batinku.
            “Matilah saya kak. Singa tua tu dah panggil saya. Macam mana ni kak? Apa saya nak buat?” Soalku meminta buah fikiran daripada Kak Salwa.
            “Itulah kamu, akak suruh pergi dari tadi kamu tak nak pergi. Dah, baik kamu pergi jumpa dia cepat sebelum singa tua tu keluar lagi sekali panggil kamu.” Saran Kak Salwa.
            “Jamie, matilah aku macam ni.”
            “Tak dapetlah den nak nolongnya dara oi.” Balas Jamilah sambil memberi isyarat thumbs up kepadaku.
            “Hantu punya kawan.” Balasku sebelum berlalu pergi menuju ke pejabat Tuan Arman dengan hati yang berdebar-debar. Kata-kataku cuma dibalas dengan kenyitan mata nakal daripada Jamilah. Harap-harap tak adalah bom jangka yang meletup kat dalam bilik Tuan Arman nanti. Gumamku sendiri.
Tuk, tuk,tuk!!! Tuk, tuk, tuk!!!
            “Come in!!!”
            Lafaz basmallah kulafazkan sebelum melangkahkan kaki kananku ke bilik Tuan Arman. Walaupun bilik ini lengkap dengan penghawa dingin, namun entah mengapa aku tetap terasa bahangnya setiap kali memasuki bilik ini, apatah lagi kalau perlu berhadapan dengan si singa tua ini seorang diri.
            “Tuan Arman panggil saya?” Soalku kepada Tuan Arman sekadar ingin menyedapkan hatiku sendiri walhal aku tahu singa tua ini sudah lama memanggilku. Satu soalan yang terasa cukup bodoh diperdengaranku. Tapi, lantaklah kalau soalan bodoh itu mampu menyelamatkan aku daripada amukan singa tua ini.
            “Did you know that I calling you for the past fifteen minute?” Soal Tuan Arman.
            Alamak!!! Dah keluar dah bahasa penjajah daripada mulut mat saleh celup ni. Dah tak reti cakap melayu ke? Tulah duduk lagi kat negara orang putih tu lama-lama. Bahasa jiwa bangsalah. Gumamku di dalam hati.
            “Indah, I’m talking to you. Do you hear me?”
            “Maaf Tuan Arman. Tuan cakap apa tadi?”
            “Kenapa baru sekarang you datang jumpa I? Kenapa you tak tunggu tahun depan je baru you masuk jumpa I?” Soal Tuan Arman kepadaku.
Hah!!! Akhirnya keluar juga perkataan melayu daripada mulut singa tua ni. Boleh rekod dalam diari ni. Kali pertama aku dengar singa tua ni cakap melayu setelah hampir lima bulan dia ambil alih pengurusan Zaman Holding. Betul-betul hari ini dalam sejarah. Aku ingatkan singa tua ni dah tak reti cakap melayu. Almaklum jelah dah tinggal kat luar negara tu lama sangat. Lima belas tahun.
            “Nur Indah Binti Amran!!!”
            “Ya…sa..sa…ya.” Jawabku tergagap-gagap.
            “What wrong with you? Mengelamun sahaja kerja kamu. Can you focus?”
            “Maafkan saya Tuan Arman.”
            “Sir Arman! Call me Sir Arman not Tuan Arman. Understand?” Bentaknya kepadaku.
            “Yes sir.” Ya Allah, berilah aku kesabaran untuk berhadapan dengan manusia yang sangat-sangat menyakitkan hatiku ini.
            “I’m asking you again. Kenapa baru sekarang you datang jumpa I? Kenapa You tak tunggu sampai tahun depan je baru you masuk office I. I’m waiting for you for more than fifteen minutes. Did you know you are wasting my time? In business, when we speak about time, we will speak about money. You are wasting my time and you also wasting my money. Did you get that?”
            “Kalau boleh memang saya nak masuk tahun depan je. Tak lama pun lagi, tinggal lagi lima hari. Lepas tu boleh tukar kalendar tahun baru.” Ujarku antara dengar dengan tidak.
            “Pardon! What you say? I can’t hear you. Say it back to me loud and clear.”
            Alamak!!! Dia dengar ke? Aku cakap perlahan je kot. “Nothing Sir. Saya tak cakap apa-apa pun. Sir salah dengar agaknya kot.” Dalihku, harap-harap dia percaya.
            “Saya belum pekak lagi. Saya dengar you ada say something. Nur Indah Amran, better you tell me now.” Keras sahaja nada yang keluar dari mulut si singa tua. Isy singa tua ni, suka sangat sebut nama penuh aku. Aku tahulah nama aku tu unik, lain dari yang lain, sedap lemak berkrim lagi tapi tak payahlah asyik nak sebut- sebut pulak.
            “Kenapa senyap? Amboi bila dekat luar tu bukan main rancak lagi kamu bersembang, bila kat dalam ni tak nak pula kamu bercakap. Kenapa? Dah hilang ke suara kamu tu sebab bersembang bagai nak rak kat luar tu ke atau kamu dah bisu?” Tempelak Tuan Arman kepadaku.
            “Se… se… sebenarnya….sa…sa…saya…”
            “Sebenarnya apa?” Tempelak Tuan Arman lagi. Aku diam, tak berani nak menjawab soalan yang keluar daripada mulut si singa tua itu kerana aku tahu apa pun jawapan yang aku beri padanya tetap tidak akan dapat memuaskan hatinya. Aku hanya mampu menguis-nguis hujung hamparan permaidani yang terdapat di bilik itu dengan kakiku.
            “Bila dekat luar awak rancak bersembang, bila dekat dalam ni saya tanya awak bisu pulak, tak menjawab. Asyik dok terkuis-kuis permaidani buat apa? Awak tahu tak berapa lama saya tunggu awak kat dalam ni? Saya bos ke awak yang bos?”
            “Saya bos.” Alamak!!! Macam manalah boleh tersasul ni?
            “What???” Terbeliak matanya mendengar jawapan yang keluar daripada mulutku.
            “Err…salah cakap bos. You are boss, sir.” Jawabku pendek.
            “Tahu pun awak yang saya ni bos awak. Saya ingatkan awak dah tak tahu yang saya ni bos awak. So, in that case undang-undang negara mana yang awak pakai, bos kena tunggu pekerja ni hah?” Tempelaknya lagi. Aku hanya menundukkan wajahku tatkala itu. Sedikit pun aku tak punya kekuatan untuk menatap wajahnya yang bengis itu.
            “Pandang saya bila saya bercakap dengan awak. Daripada awak pandang lantai tu, bukan dapat apa-apa pun lebih baik awak tengok muka saya ni. Dapat juga awak jamu mata tengok muka saya yang handsome ni.” What? Handsome? Erk!!! Tak selera aku pandang muka singa tua ni. Tang mana yang hadsome pun aku tak tahu. Perasan sungguh!!!
            “Bila saya kata pandang muka saya, pandanglah!!!” Tempelaknya lagi.
Hisy, yang dia nak sangat aku pandang muka dia ni kenapa? Meroyan ke apa orang tua ni? Yelah aku pandang. Satu, dua, tiga, trang……opocot mak kau dah jatuh dalam guni!!! Oh, semangat!!! Nasib baik aku melatah dalam hati je, kalau terlepas cakap depan dia tadi mahu aku jadi bahan dia seumur hidup. Conform, esok juga aku bagi notis berhenti kerja 24 jam. Tapi, dekatnya muka dia dengan muka aku, adalah jarak seinci kot. Desas nafas dia yang panas pun aku boleh rasa. Perfume apa ek dia pakai? Wanginya. Bila tengok muka dia dekat-dekat macam ni, tiba-tiba je aku rasa boleh tahan kacak juga bos aku ni. Jiwa kacau betullah, dah mula dah lagu kuch kuch hota hair. Oh tidak!!! Superman cepatlah tolong aku!!!
            “Apa tenung-tenung? Saya tahulah saya handsome.”
            “Erk… perasannya.” Balasku. Ops!!! Tak ada insurans betullah mulut aku ni. Macam manalah boleh terlepas cakap depan singa tua ni. Mampus aku. Tak pasal-pasal kena baham dengan dia ni kang.
            “Hah, menjawab! Saya cakap awak melawan pulak.” Isy orang tua ni, angin tak ada, ribut tak ada, tuptup  boleh pula dia meroyan kat sini. Tadi aku tak jawab, dia kata aku bisu. Sekarang aku jawab, dia kata aku melawan pula. Tak faham sungguhlah aku dengan dia ni. Patutlah tak kahwin-kahwin sampai sekarang, rupa-rupanya angin satu badan. Jadi bujang terlajaklah kau bos sampai ke tua.
            “Hah, mengelamun lagi!!! Saya bercakap depan awak, awak masih boleh mengelamun lagi. Dah sampai mana lamunan awak tu? Amerika? Jepun? Atau Afrika Selatan?” Sindirnya lagi kepadaku. Tahap kesabaranku sudah semakin menipis. Indah, sabar Indah. Dia tu bos kau. Gumamku sendirian di dalam hati.
            “Boleh tak awak fokus bila saya bercakap dengan awak? Jangan asyik nak berangan je.” Hisy dia ni, tak habis lagi ke? Kalau setakat panggil aku masuk kat dalam ni sebab nak mengomel, nak berleter, nak marah-marah kat aku, baik tak payah panggil. Apa dia ingat aku ni tak ada kerja lain ke nak buat kat luar tu. Kerja aku lagi banyak dekat luar tu, dah menimbun-nimbun macam gunung sedang menanti aku. Dia pula kat sini asyik dok potpet, potpet je dari tadi. Tak penat ke mulut dia ni asyik membebel je dari tadi macam burung murai tercabut ekor. Burung apa? Burung murai. Burung apa? Burung murai. Burung apa? Burung murai. Aku tersenyum sendiri terkenangkan iklan petronas yang pernah ditayangkan di televisyen suatu ketika dahulu.
            “Ya Allah, Indah!!! Boleh mengelamun lagi awak ni. Siap tersenyum-senyum pulak tu. Awak ingat apa? Ingat anak? Atau awak ingat laki awak kat rumah?” Sindirnya lagi. “Ops!!! Saya lupa pulak. Awak nikan tak berlaki lagi. Kalau tak silap saya, umur awak sekarang ni dah nak masuk suku abadkan? Tak lama lagi bolehlah jadi calon andalusia a.k.a anak dara lanjut usia kat office ni.”
            Zrupp!!! Terasa seperti semua darah berkumpul di mukaku tatkala ini. Panas siot!!! Kurang asam keping betullah mamat ni. Mulut tak ada insurans betul. Mengangkat dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Ada hati nak mengata aku konon, diri sendiri tu pun sama je dua kali lima dengan aku. Umur dah nak masuk empat siri pun tak kahwin-kahwin lagi.
            “Sir Arman, can you do me some favour?” Soalku memberanikan diri menyoalnya kerana semakin lama aku berdua-duaan dengannya di bilik ini semakin sakit hati aku, semakin nipis telinga aku dan semakin aku rasa macam nak telan dia hidup-hidup.
            Satu jelingan maut dihadiahkannya kepadaku. “What?”
            “Actually, Sir Arman panggil saya ni ada apa sebenarnya? Can you just straight to the point please sebab saya ada banyak lagi kerja kat luar tu yang nak di settlekan.” Luahku.
            “Ok. Awak nampak dua buah fail atas meja saya tu?” Soalnya kepadaku sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah mejanya.
            “Ya.” Jawabku ringkas. Aku ni baru rabun, belum buta lagi. Takkanlah aku tak nampak fail yang tebal macam yellow pages dekat atas meja dia tu.
            “Fail tu ada semua maklumat tentang customer kita. Saya nak awak ambil fail tu dan buatkan update data entry dalam rekod syarikat.”
            “Dateline?”
            “Esok.”
            “What? Esok?” Terkejut babun aku dibuatnya. Babun pun tak terkejut macam aku. Mustahil aku boleh siapkannya esok. Tak berperikemanusiaan betullah bos aku ni.
            “Ya, esok. Saya nak semuanya siap esok. Faham!!! Sekarang awak boleh keluar dari sini.” Katanya lagi memberi arahan. Dua buah fail di atas mejanya kuambil untuk di bawa keluar. Mak ai!!! Ni fail ke batu? Beratnya. Tak apa Tuan Arman, ada lori ada bas, ada hari aku akan balas. Ini Indahlah, tahulah apa aku nak buat dengan si singa tua tu. Tunggulah kedatangan supermanku nanti, akan kubalas semula perbuatanmu. Nantikanlah pembalasku wahai si singa tua. Hahaha!!!

Jumaat, 17 Jun 2011

KORBAN KASIH PAPA


Kawasan Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6 itu kian sepi semula. Mereka yang tadinya hadir untuk mengiringi pemakaman jenazah sudah mula beransur-ansur pulang meninggalkan si mati untuk di soal oleh malaikat Mungkar dan Nangkir. Langit yang tadinya juga sekadar mendung, kini sudah mula menitiskan gerimis-gerimis halus. Langit seakan-akan mengerti dan turut berdukacita dengan musibah yang melanda.
            “Eren, kita pulang ya.” Tutur Safiah lembut sambil memegang bahu Eren.
            Eren hanya membiarkan kata-kata Safiah itu sepi di bawa angin lalu tanpa sebarang balasan. Pandangannya ditala ke sepasang batu nisan yang sudah gah berdiri di atas pusara kedua-dua orang tuanya. Hatinya menangis hiba. Kini, dia sudah sah bergelar yatim piatu. Hilang sudah tempatnya untuk berpaut dan bermanja.
            “Eren, marilah kita pulang.” Safiah mengajaknya untuk pulang sekali lagi tetapi tetap tidak mendapat sebarang respon daripada Eren. Dia tetap membatu dan membeku di situ. “Gerimis makin lebat, nanti kau sakit pula. Marilah kita pulang.” Safiah masih belum berputus-asa untuk memujuk temannya itu untuk pulang.
            “Tak apalah Safi. Kau ajelah yang pulang. Aku masih mahu tetap di sini.” Akhirnya Eren membuka bicara. Seingatnya itulah ayat yang pertama keluar daripada mulutnya sejak kemalangan yang menimpa kedua-dua orang tuanya petang kelmarin.
            Melihat Safiah yang masih belum beranjak daripada tempatnya membuatkan Eren bersuara lagi, “Kau janganlah risau. Aku tak ada apa-apa. I’m just want to be alone for a while. Kau baliklah dulu, nanti aku balik.” Eren cuba untuk menyakinkan Safiah bahawa dia  akan baik-baik sahaja ditinggal sendirian di sini.
            “Baiklah. Aku balik dulu tapi if nanti you need anything, just give me a call, okay.” Akhirnya Safiah terpaksa akur juga dengan kehendak Eren. Dia bingkas bangun untuk meninggalkan Eren sendirian di pusara orang tuanya itu.
            ‘Ya Allah, Kau tabahkanlah hati sahabatku itu.’ Safiah memohon di dalam hatinya.
*****
Eren menatang dulang yang berisi empat cawan kopi panas itu menuju ke ruang tamu rumahnya dengan penuh berhati-hati. Dengan cermat dia menyajikan kopi itu kepada keempat-empat tetamu yang bertandang itu.
            “Jemput minum pak ngah, mak ngah, mak su, pak su. Ini aje adanya.” Eren mempelawa tetamu-tetamunya itu untuk minum.
            Eren menjatuhkan pandangannya ke lantai. Dia tidak tega menatap wajah mereka lama-lama kerana dia sangat memahami maksud kedatangan mereka pada hari ini.
            “Sudah seminggu mak dengan ayah kamu meninggal dunia dah sudah seminggu juga kamu tinngal sendirian di sini. Jadi, kami semua ni datang nak bertanyakan keputusan kamu mengenai apa yang pak ngah beritahu kamu tempoh hari.” Pak ngah mula membuka mukadimahnya.
            “Tapi sebelum Eren buat apa-apa keputusan, mak su  nak beritahu dulu satu perkara. Mak su sebenarnya tak kisah kalau Eren nak tinggal dengan mak su tapi Eren pun kenalah faham yang mak su ni tak bekerja. Semuanya bergantung kepada pak su sorang je. Anak-anak mak su pulak tu ramai, semuanya masih kecil lagi. Jadi, mak su harap Eren faham-faham jelah.” Mak su mencelah tiba-tiba.
            “Eren faham.” Balas Eren ringkas. “Eren dah buat keputusan. Mak su janganlah risau. Eren takkan susahkan mak su.” Sambungnya lagi.
Tersenyum lebar mak su mendengar bila mendengar jawapan yang keluar daripada mulut Eren itu. Pak ngah mula kelihatan gelisah apabila mendengar kata-kata Eren itu.
“Tapi Eren kena faham juga situasi pak ngah dengan mak ngah.” Sampuk pak ngah tiba-tiba. “Walaupun kami berdua ni sama-sama kerja tapi tanggungan pak ngah besar. Eren pun tahukan yang Arif tu sekarang ni study kat kolej, Aiman pulak dekat matrik dan Aza nak ambil SPM hujung tahun ni. Pak ngah tak kisah kalau Eren nak tinggal dengan pak ngah tapi Eren terpaksa berhenti kuliah sebab pak ngah tak mampu  nak tanggung kos pengajian Eren.” Perkataan ‘terpaksa’ itu sengaja ditekannya agar jelas diperdengaran Eren.
“Tak! Eren tak perlu berhenti kuliah” Celah satu suara yang datang dari arah pintu.
Tidak semena-mena , lima pasang mata yang berada di ruang tamu itu secara automatik memandang ke arah pemilik suara itu yang muncul secara tiba-tiba.
“Anda siapa? Anda sama sekali tidak berhak untuk campur tangan dalam urusan keluarga kami.” Pak ngah tiba-tiba membentak. Wajahnya berubah rona. Bengis!
‘Cis! Siapa pulak perempuan ni. Rosak rancangan aku nak suruh Eren tandangan surat kuasa terhadap harta tinggalan arwah abang long kalau dia tetap mahu teruskan pengajiannya.’
“Saya Shireen Azwa, pembantu peribadi kepada encik Zerman Iskandar.” Ujar wanita anggun yang berpakaian korporat itu memperkenalkan dirinya. Sekeping kad nama dihulurkan kepada pak ngah. “ Ini pula encik Qalif, penguam kepada encik Zerman dan ini encik Haziq, pengawai daripada badan kebajikan masyarakat.” Sambung wanita yang bernama Shireen itu, memperkenalkan dua orang lelaki yang turut bersama dengannya.
“Apa maksud kamu semua datang ke sini?” Kini tiba giliran mak su pula yang bersuara.
Shireen tidak menjawab pertanyaan mak su itu. Dia hanya tersenyum lalu membuang pandang ke arah lelaki yang bernama Qalif. Lelaki yang bertubuh sasa itu bagaikan mengeti maksud senyuman itu lalu mengeluarkan sepucuk surat dari saku kotnya dan menyerahkan surat itu kepada pak ngah.
“Surat apa ni?” Soal pak ngah kehairanan.
“Buka dan baca. Anda akan mengerti selepas itu.”  Jawab Shireen.
Pak ngah mengeluarkan surat itu dari sampulnya. Terkumat-kamit mulutnya membaca isi kandungan surat itu dengan dahi yang berkerut-kerut. Tiba-tiba pak ngah membutangkan matanya sambil mendengus. Usai membacanya, pak ngah menyerahkan surat itu kepada mak su. Mak su mengulangi perbuatan pak ngah semula. Mulutnya terkumat-kamit dahinya berkerut, matanya membutang dan akhirnya mak su mendengus juga seperti pak ngah.
Eren yang melihat keadaan itu terpinga-pinga apatah lagi apabila melihat pak ngah dan mak su terus angkat kaki dari rumahnya sambil diekori oleh mak ngah dan pak su. ‘Apa semua ni?’ Desis hati kecilnya.
“Cik Eren jangan bimbang. Nanti kami terangkan.” Ujar Shireen seolah-olah dia mengerti gelodak perasaan Eren tatkala itu.
*****
Beberapa hari sebelum kejadian di rumah Eren.
            Zerman membuang pandang ke tengah padang yang menghijau itu. Dia mengeluh. Fikirannya menerawang jauh, mengingati peristiwa tragik yang menimpa dirinya beberapa hari yang lalu, akibat daripada kecuaiannya sendiri yang memandu dalam keadaan mengantuk, dua nyawa yang tidak bersalah telah melayang begitu sahaja.
            “Selamat pagi, encik Zerman.” Ucap Shireen menghalau pergi lamunan majikannya itu.
            “Selamat pagi.” Balas Zerman sambil mengisyaratkan agar Shireen mengambil tempat duduk di hadapannya. “Bagamana progress kerja yang saya suruh awak buat tu?” Soal Zerman.
            “Pasangan yang terkorban dalam nahas jalan raya bersama encik tempoh hari itu mempunyai seorang anak perempuan bernama Zerra Erenna atau lebih mesra dengan panggilan Eren dalam kalangan teman dan keluarga terdekat. Berumur dua puluh tahun dan masih menuntut di UiTM kampus cawangan Johor dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan. Lain-lain maklumat mengenai Eren ada dalam fail ini.” Jawab Shireen sambil menghulurkan sebuah fail berwarna biru kepada Zerman.
            Zerman mengambilnya lalu menyelak-nyelak helaian fail itu.
            “Hebat awak Shireen sampaikan percapaian akademik dia pun awak boleh dapatkan.” Zerman memuji kecekapan Shireen dalam menjalankan tugasnya. “Bagaimana pula dengan perkara yang satu lagi tu? Ada cara untuk saya dapatkannya?”
            “Kalau encik nak dapatkan hak jagaan yang sepenuhnya itu adalah sesuatu yang mustahil untuk kita dapatkan kerana Eren sudah berusia lebih daripada lapan belas tahun tetapi kalau hak sebagai penjaga sementara sehingga Eren tamat pengajian dan boleh berdikari sendiri, itu saya boleh usahakan dengan pihak mahkamah.”
            “Kamu rasa akan ada tak tentangan daripada pihak lain? Maksud saya ada kebarangkalian tak untuk kita dapat tentangan daripada keluarga terdekat Eren?” Soal Zerman.
            “Mengikut kajian awal kes yang dilakukan oleh encik Qalif, keluarga terdekat Eren ialah dua orang adik kepada arwah ayahnya iaitu encik Zainal dan Puan Zaiton. Walaubagaimana pun kita boleh mempertikaikan kredibiliti mereka sebagai penjaga yang sah memandangkan encik Zainal seorang penjudi tegar dan mempunyai kes polis yang masih belum selesai manakala Puan Zaiton pula seorang suri rumah tangga sepenuh mangsa yang bergantung ekonomi sepenuhnya kepada suaminya yang juga seorang penjudi tegar. Kalau pihak kita berjaya membuat mahkamah menerima keraguan kredibiliti mereka makanya kita boleh menang kes ni dengan mudah.” Shireen memberikan penjelasan yang panjang lebar kepada Zerman.
            “Berapa lama pula tempoh prosidingnya nanti?”
            “Dengan menggunakan hujah ingin bertanggungjawab sebagai fakta kes, saya rasa prosidingnya takkan lama. Lagipun ada klausa dalam sistem perundangan kita mengenai pampasan terhadap kematian untuk menyokong permohonan kita.”
            “Baguslah kalau begitu. Saya harap kalau kita menang kes ini, setidak-tidaknya rasa bersalah dan berdosa saya akan berkurangan sedikit.”Ujar Zerman lirih.
            “InsyaAllah, encik. Semoga Tuhan mempernudahkan urusan ini untuk kita semua.”
*****
Eren mengerling sekilas jam dipergelangan tangannya, tepat pukul empat petang. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya, mengemas buku-buku dan nota kuliahnya seraya melempar pandang ke sekeliling perpustakaan yang agak lengang sedikit pada hari ini memandangkan hari ini adalah hari Jumaat dan kebanyakkan pelajar mengunakan kesempatan ini untuk bercuti hujung minggu di rumah keluarga masing-masing. Sony Ericsson K550i miliknya menyala beberapa kali menandakan ada panggilan masuk. Eren melihat nama pemanggil yang tertera di atas skrin. ZERMAN ISKANDAR. Dia melepaskan keluhan berat. Panggilan itu dibiarkan sahaja tanpa jawapan.
            Eren duduk semula di tempatnya tadi, kembali menyelak-nyelak buku di hadapannya tanpa tujuan. Dia menimbang-nimbang di dalam hatinya, perlukah dia berjumpa dengan lelaki itu, lelaki yang menjadi penyebab dia bergelar yatim piatu.
            Sudah dua bulan lelaki itu diberikan hak oleh mahkamah sebagai penjaga sementaranya. Dalam tempoh dua bulan itu juga, lelaki itu sering menjenguknya di kampus saban minggu dan boleh dikatakan setiap malam menelefonnya untuk bertanyakan keadaan dirinya. Namun entah mengapa, selepas begitu banyak perkara yang dilakukan oleh lelaki itu untuknya, Eren tetap tidak dapat memaafkannya.
Bip!
Ada pesanan ringkas yang masuk ke dalam telefon bimbit Eren.  Dia membuka pesanan itu.
Penghantar: Zerman Iskandar.
Mesej: Salam. Eren kat mana? Papa call tak jawab. Papa tunggu Eren kat café admin, bangunan Sri Bendahara sampai Eren datang.
            Usai membaca pesanan ringkas itu, Eren mengeluh lagi. Dia malas mahu bertemu dengan lelaki itu kerana setiap kali bertemu dengan lelaki itu setiap kali itu jugalah hatinya akan sakit. Namun untuk membiarkan lelaki itu menunggu dia di situ terlalu lama, dirasakan adalah satu tindakan yang tidak wajar.
*****
Zerman mengukir senyum apabila melihat kelibat Eren memasuki café. Hilang sudah rasa gelisahnya menunggu Eren di situ. Anak gadis yang berusia dua puluh tahun itu tampak manis mengenakan baju kurung berbunga kecil bersama selendang yang melilit kepalanya dengan warna yang senada.
            “Sorry lambat. Kat library tadi. Ada kerja sikit.” Eren mencipta alasan walhal dia memang sengaja melambat-lambatkan kedatangannya ke sini.
            “It’s okay. Papa faham.” Zerman cuba untuk mengerti walaupun dia tahu betapa Eren belum boleh menerima kehadirannya sebagai seorang penjaga apatah lagi mengelar dirinya papa. “Eren sihat?” Zerman cuba menghidupkan suasana sepi antara mereka.
            “Sihat.” Balas Eren ringkas. Tiada langsung nada mesra di sebalik bait kata-katanya itu.
            “Study macam mana? Okay?” Soal Zerman lagi.
            “Okay.”
            “Eren masih marahkan papa ke?” Soal Zerman. Kalau boleh dia mahu berbincang dari hati ke hati dengan Eren. Dia mahu menyelesaikan semuanya.
            “Ada buat salah dengan saya ke?” Soalan dibalas soalan oleh Eren.
Eren mula panas punggung. Dia tidak betah lama-lama di situ. Loya anak tekaknya apabila lelaki yang menyebabkan kematian kedua orang tuanya mengelarkan dirinya sebagai papa. Lelaki itu bukan papanya! Lelaki itu tidak berhak mengantikan posisi papanya. Sama sekali tidak! Tidak semena-mena air mata Eren tumpah ke pipi. Dadanya jadi sebak tiba-tiba.
Zerman jadi kaget apabila melihat Eren menangis secara tiba-tiba. Lantas dia pun bersuara, “Shhh!!! Kenapa Eren nangis? Papa salah cakap ke?” Zerman cuba menyeka air mata Eren dengan jari kasarnya namun dengan pantas Eren menepis tangan Zerman.
“Jangan sentuh saya!” Bentak Eren sedikit keras tanpa menghiraukan beberapa pasang mata yang melihat adegan sebabak mereka itu.
“Okay, papa minta maaf.”
“Maaf?” Soal Eren sinis.
“Ya, maaf dan papa akan minta maaf pada Eren setiap hari andai itu boleh mengubat luka di hati Eren.” Zerman cuba mengendurkan suasana yang sudah mulai tengang sedikit.
“Kalau ucapan maaf itu boleh mengembalikan semula kedua-dua orang tua saya ke dalam kehidupan saya, saya dah lama maafkan encik tapi itu semua tak mungkin kan?”
“Papa tahu. Sebab itulah papa mahu jadi sebahagian daripada hidup Eren supaya papa boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh mereka.” Jelas Zerman bersungguh-sunguh.
Zerman cuba mengengam tangan Eren tetapi Eren dengan pantas menepis kasar tangannya. Eren tidak rela lelaki yang menjadi penyebab kematian orang tuanya itu menyentuhnya.
“Eren, please give me a chance.” Rayu Zerman.
“Hutang nyawa dibalas dengan nyawa.” Bentak Eren sebelum berlalu pergi daripada café.
“Eren!”
Eren meneruskan langkahnya. Panggilan Zerman lansung tidak dihiraukannya.
Langit yang tadi cerah, sudah berubah mendung. Rintik-rintik hujan sudah mulai turun membasahi bumi Sengamat ini. Zerman terus berusaha mengejar Eren dan akhirnya dia berjaya mencapai tangan Eren. Langkah Eren terhenti lalu dia merentap kasar tangannya.
“Lepaskan!!!” Bentak Eren sambil meronta-ronta.
“No until you listen to my explanation!” Kini giliran Zerman pula membentak. Dia perlu tegas kali ini.
“What kind of explanation? Nak minta maaf? Nak ganti tempat my parents? Nak tebus kesalahan? Explanation macam tu?” Soal Eren bertalu-talu. Wajahnya sudah basah dengan air mata. “Kenapa diam? Jawablah!”
“Eren, papa just nak…”
“Nak apa? Kemaafan dari saya? Never! You will never get it from me!” Bentak Eren sebelum meninggalkan Zerman yang dihantui oleh perasaan bersalahnya di bahu jalan.
Tiba-tiba Eren mendengar suara Zerman melaungkan namanyan, “Eren!!!” Dia merasakan tubuhnya terdorong ke hadapan akibat ditolak oleh Zerman dan pada waktu yang sama juga dia melihat tubuh Zerman melambung tinggi ke udara selama beberapa saat sebelum jatuh menyembah bumi. Cecair berwarna merah pekat mula mencemari permukaan jalan.
Eren terpana seketika. Dia benar-benar kaget dengan kejadian yang berlaku di hadapan matanya tadi dan dia hanya tersedar semula apabila suara lemah Zerman memanggilnya.
“E…ren…”
Dengan pantas Eren berlari ke arah sekujur tubuh yang terdampar di atas jalan. Dia memangku kepala lelaki yang sangat dibencinya itu.
“E…ren...”
“Kenapa selamatkan saya?” Soal Eren. Suaranya sudah tenggelam di dalam sendunya sendiri.
“Hu…tang nya…wa di ba…las dengan nya…wa.” Jawab Zerman dengan suara yang terputus-putus.
Sebaik sahaja Zerman menghabiskan kata-katanya itu, dia pun terkulai layu di atas pangkuan Eren.
“Papa! Bangun pa! Jangan tinggalkan Eren. Papa tak boleh tinggalkan Eren.” Eren menjerit sekuat hatinya sambil mengoncang-goncang tubuh kaku Zerman yang berada di atas pangkuannya. Air matanya meluncur laju. Sesungguhnya dia tidak sanggup kehilangan lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...